Mizwalah Horizontal di Kolej PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah sebuah jam Matahari jenis mendatar dengan saiz diameter 5 kaki. Mizwalah Horizontal ini diukir dengan garisan jam setiap 10 minit, penandaan dua belas tempat laluan (manzilah) Matahari bagi mengetahui musim Matahari, garisan masuknya waktu Zuhur dan Asar serta penandaan arah Kiblat.
Jam Matahari ini menggunakan jarum atau gnomon jenis hibrid yang menggabungkan antara jarum sendeng dan jarum tegak di dalam satu rekabentuk jarum untuk tujuan penghasilan bayang untuk membaca waktu daripada bayang Matahari. Bacaan waktu daripada bayang Matahari ini telah diselaraskan mengikut waktu piawai Malaysia iaitu waktu yang diselaraskan untuk digunakan di peringkat dunia.
Bagi mendapatkan bacaan waktu daripada bayang Matahari, bayang yang jatuh pada mana-mana garisan jam akan dibaca dan ditambah dengan beberapa minit pembetulan waktu mengikut Jadual Perata Waktu (Equation of Time).
Grafik di atas adalah menunjukkan kedudukan Matahari berada pada sebelah Timur dan bayang berada pada sebelah barat dengan bacaan jam adalah 10:30 pagi pada 23 April 2025. Bagi mendapatkan bacaan waktu sebenar sebagaimana yang digunapakai di Malaysia dengan menambahkan beberapa minit mengikut Jadual Perata Waktu mengikut tarikh bacaan diambil.
Maka pembetulan jam adalah sebagaimana berikut :-
Bacaan Bayang
10:30 pagi
Tarikh
23 April 2025
EoT (mengikut Tarikh)
- 2 minit = - 00:02
Bacaan sebenar
10:30 - 00:02
= 10:28 pagi
Bayang semasa waktu Zuhur adalah seperti garisan lurus yang berada di dalam kotak Garisan Zuhur dan Istiwa (di tengah-tengah Mizwalah) dan bergerak sedikit ke sebelah Timur menandakan matahari telahpun gelincir daripada kedudukan meridian tempatan.
Tebal garisan ini adalah sama tebal dengan kepingan jarum Mizwalah yang digunakan. Panjang bayang yang dihasilkan pada kedudukan ini adalah mengikut musim Matahari, Semasa bulan 12, bayang berbentuk garisan akan mengunjur ke sebelah Utara Mizwalah sebagaimana di dalam grafik.
Bayang jarum yang akan digunakan untuk mengenalpasti masuk waktu Asar adalah menggunakan bayang yang runcing di tengah bayang jarum hibrid.
Jarum runcing ini adalah mewakili jarum tegak yang digunakan khusus untuk menunjukkan bayang yang lebih spesifik pada waktu dan tarikh yang dikehendaki.
Garisan awal waktu Asar pada Mizwalah ini adalah merujuk kepada kaedah kiraan Mazhab Shafi'e dan garisan ini adalah berbentuk lengkung M.
Bagi mengetahui masuknya waktu Asar, bayang tegak yang berbentuk runcing hendaklah menyentuk garisan lengkungan Asar sebagaimana dalam grafik. Tidak perlu kepada sebarang penambahan beberapa minit daripada Jadual Perata Waktu.
Bayang jarum yang akan digunakan untuk mengenalpasti bayang yang se-arah Kiblat adalah menggunakan bayang yang runcing di tengah bayang jarum hibrid. sebagaimana kaedah menentukan waktu Asar
Bayang yang runcing hendaklah menyentuh garisan Kiblat bagi mengetahui waktu bayang yang se-arah dengan Kiblat sebagaimana di dalam grafik di atas.